Purata tujuh orang bunuh diri sehari di M’sia dikaitkan dengan kesihatan mental

Purata tujuh orang bunuh diri sehari di M’sia dikaitkan dengan kesihatan mental
– Nur Shahirah Osman –
July 20, 2017

KUCHING: Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) Profesor Nor Zuraida Zainal mendedahkan lebih 2,000 rakyat Malaysia, kebanyakannya golongan muda mati akibat bunuh diri setiap tahun.
Ini bermakna, purata tujuh kes bunuh diri berlaku sehari atau sekitar 200 sebulan atau tujuh orang daripada 100,000 penduduk negara ini nekad membunuh diri.

Statistik kadar bunuh diri dunia ialah daripada 100,000 orang, lebih 20 orang membunuh diri setiap hari atau setiap 30 saat seorang mengakhir hidupnya dengan membunuh diri.
Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) merekodkan jumlah kematian akibat bunuh diri mencecah sejuta orang setiap tahun.
China merekodkan kejadian paling ramai rakyatnya membunuh diri.

Dianggarkan lebih 300,000 penduduk China membunuh diri setahun, lebih 10 kali ganda berbanding statistik bunuh diri di Amerika Syarikat.
Negara lain yang mencatat kejadian bunuh diri tinggi termasuk Jepun dan Korea.
Berucap pada Majlis Perasmian Kongres Persatuan Pencegahan Bunuh Diri Antarabangsa (IASP) Sedunia Ke-29, Zuraida menganggap kes bunuh diri dalam kalangan rakyat Malaysia kini dikaitkan dengan isu kesihatan mental.

 

Bagi beliau fenomena ini memerlukan perhatian serius dan ditangani sebaik mungkin semua pihak.
Pada majlis serempak dengan Persidangan Perubatan Psikologi Malaysia (MCPM) Ke-21 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dirasmikan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg itu, Zuraida berkata antara faktor mendorong mangsa membunuh diri ialah kemurungan.

Sementara, terdapat faktor lain yang kompleks, ditambah kurangnya sokongan keluarga terhadap “masalah” yang dihadapi mangsa.

Seramai 550 delegasi dari 60 negara menyertai kongres berlangsung 18 Julai yang berakhir Sabtu ini, julung kali di diadakan di Malaysia dengan Kuching yang dianggap sebagai bandar raya kaya alam semula jadi sebagai hos.
Pada April lepas pensyarah Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai Dr Muzaffar Syah Mallow seperti disiarkan FMT berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan saranan agar memansuhkan kesalahan berkaitan bunuh diri yang tertera di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Menurut beliau hukuman tersebut dilihat tidak membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi mangsa yang terlibat, malah memburukkan lagi keadaan mangsa yang memerlukan bantuan sewajarnya.

Di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan (Akta 574), cubaan membunuh diri boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah.
Hukuman diwujudkan sebagai langkah pencegahan dan pengajaran kepada mana-mana pihak agar tidak cuba membunuh diri. – Sarawakvoice

 

Sumber: https://sarawakvoice.com/2017/07/20/purata-tujuh-orang-bunuh-diri-sehari-di-msia-dikaitkan-dengan-kesihatan-mental/

Jangan Lupa Share Ya...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *